SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Ulu Kakus, Tatau telah dibina pada tahun 1988. Ia dibina secara gotong-royong oleh penduduk Kampung Data Kakus yang diketuai oleh Ketua Kampung Peter Deno Amit Jalong. Pada 1 Januari 1989, SK Ulu Kakus telah mula beroperasi. Pada tahun tersebut juga SK Ulu Kakus, telah diberi nama Sekolah Rendah Kerajaan Ulu Kakus, Belaga.

Blok bangunan sekolah ini telah dibina daripada papan sepenuhnya. Terdapat hanya 6 buah bilik kelas untuk Tahun 1 hingga ke Tahun 6. Bilangan murid yang pertama masuk ke sekolah berkenaan ialah seramai 230 orang. Guru Besar yang pertama adalah Encik Francis Berayan Anak Rengkang. Bilangan tenaga pendidik pada tahun pertama adalah 13 orang termasuk Guru Besar. Daripada jumlah berkenaan, 5 orang guru adalah Guru Sandaran Tidak Terlatih. Mereka terdiri daripada pelbagai kaum iaitu 4 orang Iban, 2 orang Bidayuh, dan 7 orang Kenyah Badeng yang kebanyakannya guru sandaran tidak terlatih.

Rumah guru pada waktu telah dibina daripada papan secara gotong-royong. Bentuknya adalah seperti sebuah rumah panjang yang terdiri daripada 8 buah pintu yang berkeluasan 12 kaki panjang dan 10 kaki lebar. Atap rumah guru diperbuat daripada papan kayu belian yang sememangnya tidak begitu rapat dan menyebabkan keadaan atap bocor pada waktu hujan.

Pengangkutan ke Sekolah Rendah Kerajaan Ulu Kakus, Belaga hanyalah dengan berjalan kaki sejauh 6 jam meredah hutan tebal, mendaki gunung serta menuruni lurah dan meniti sungai dari pangkalan perahu di Pulau Tikus,Long Sungai Sanan di Batang Balui, Belaga. Dari Pulau Tikus, kita akan menggunakan perahu bermotor dengan kadar tambang RM5 seorang pada waktu itu. Kadang kala jika tiada pengangkutan dari Pulau Tikus, kita terpaksa bermalam dan hanya akan meneruskan perjalanan pada esoknya.

Pada 11 Oktober 1990, SRK Ulu Kakus, Belaga telah diserahkan secara rasminya kepada Pejabat Pendidikan Bahagian Miri/Bintulu yang disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Bahagian Kapit, Encik Douglas Telajan, Pegawai Pendidikan Daerah Belaga, Encik Tan Joo Chua dan Encik Rosli Terhim, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu. Sekolah berkenaan telah ditukar namanya kepada Sekolah Rendah Kerajaan Ulu Kakus, Bintulu. Pengurusan serta pentadbiran sekolah berkenaan telah berpindah tangan ke Daerah Bintulu. Kemudian, pada Januari 2007, SK Ulu Kakus, Bintulu diserahkan kepada pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Kecil Tatau dan seterusnya menukarkan namanya kepada Sekolah Kebangsaan Ulu Kakus, Tatau.


SENARAI GURU BESAR 
Berikut adalah senarai nama guru besar yang pernah berkhidmat di sekolah ini.
BIL
TAHUN MULA
TAHUN AKHIR
NAMA GURU BESAR
1.
13.12.1989
30.11.1992
EN. FRANCIS BERAYAN ANAK RENGKANG
2.
01.12.1992
31.12.1997
EN. KEREBO ANAK BUGIK
3.
12.01.1998

EN. CHAI HON MUN
4.

31.12.2003
EN. APUNG LAHANG 
(Menjalankan tugas GB)
5.
01.01.2004
19.03.2015
EN. LAWAI ANAK RANDOK
6.
19.03.2015
kini
EN. REGINALD IGGAN SALO


PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU 
Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) memainkan peranan yang amat penting sejak penubuhan sekolah ini. Yang Di-Petua PIBG yang pertama adalah Ketua Kampung Peter Deno Amit Jalong dari tahun 1989 hingga ke tahun 1994. Sesi 1994/1996 ialah Encik Jalong Ajan, diikuti oleh mendiang Encik Engka Epit, Encik Karang Laing, Encik Rejun Lin, Encik Etang Lesan (2007-2013), Encik Dan Lee (2013-2017) dan Encik Ami Epit dari 2017 hingga kini. 

Bangunan Blok pentadbiran dan juga rumah kediaman guru pada awal penubuhan sekolah ini adalah hasil binaan ahli PIBG secara bergotong-royong. PIBG telah memainkan peranan yang amat penting dalam membangunkan sekolah ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...